"Ya Allah, kuatkan hatiku untuk menempuh kehidupan di dunia ini, walau bukan setiap detik hati ini kusandarkan dalam mengingati-Mu. namun sering ku mohon perlindungan daripada-Mu, wahai TUHANku. semoga diri ini terus berada dalam pemeliharaan-Mu. maka, cukup hanya ENGKAU Ya Allah, kekuatanku,
sandaranku dan peneman buat diriku ini"
Lupakah kita bahawa hanya Allah tempat sandaran? Andai ALLAH diabai, ke mana harapan harus dituju? ALLAH itu dekat. Tidak pernah menjauh. Kita pula yang sering melupakan-NYA dan mengingati-NYA saat kesusahan bertandang. Lalu, munajatlah tanpa henti. DIA akan membantu kita dalam mendidik hati dan jiwa. Pasti... kita menjadi sebaik-baik insan. Yakinlah... cukup hanya ALLAH di hati.
Kata-kata daripada Ustaz Kazim Elias:
" Kita bukanlah insan istimewa. Namun, adakala kita berasa kitalah yang paling baik dan kitalah paling sempurna, sehingga ada yang terdetik kita mampu sendirian mengahrungi liku-liku kehidupan. Rasa itu terus mengejar ke benak hati paling dalam. Ya... tanpa sedar kita tewas dalam telahan sendiri. Lalu, segala teguran diabai dan nasihat dianggap dusta. ALLAH... siapa kita untuk berasa hebat? Kita hanya insan kerdil yang mengharap maghfirah ILAHI jua."Sifat suka membesar diri ini boleh berlaku kepada semua orang. Orang miskin atau kaya, susah atau senang, rendah atau tinggi, semuanya boleh terkena penyakit ini. Tiada yang terkecuali melainkan diri dihiasi dengan IMAN dan TAKWA. Justeru, sebelum terlambat sentiasalah audit diri. Bukan hanya sekali bahkan jika mampu lakukanlah setiap hari. Pada masa yang sama, berusahalah dalam membuang sikap buruk dan tanamlah sifat-sifat mahmudah dalam diri.
Ini kerana, hidup kita ini hanya sekali, maka berusahalah untuk menjadikan ia sebuah persinggahan yang 'menguntungkan' sebelum berpindah ke alam baqa'. Berusahalah mencari jalan yang mampu membawa kita melakukan kebaikan dan kebajikan di sisi ALLAH. Dunia yang hanya berbentuk pinjaman semata-mata seharusnya tidak menjadi tujuan dan matlamat besar. Sebaliknya, jadikanlah dunia ini sebagai ladang untuk menimba sebanyak mungkin bekalan ke akhirat kelak.
Janganlah sesekali kita lupakan ALLAH. Ingatlah, jangan sesekali kita menjadi hamba dunia. Sebaliknya, dunialah yang perlu dijadikan alat untuk meraih redha-NYA. Jangan sesekali meletakkan dunia di hati sehingga kita lalai dari mengingati akhirat. Sebaliknya, jadikanlah dunia ini hanya perhiasan semata-mata.
Ya Allah,
kelemahanku adalah kekuranganku
tiadalah daya upayaku melakukan sesuatu tanpa
mengharapkan pertolongan-MU
Ya Allah
aku mengadukan kepada-MU kepayahanku
bukan mudah untukku melangkah
tanpa bimbingan dari-MU
Ya Allah,
inilah jalanku, inilah perjuanganku
Ya Allah,
engkaulah Tuhan yang Maha Pengasih
lagi Maha Penyayang
pada-MU adanya harapan,
pada-MU jua adanya sandaran
Ya Allah,
sesungguhnya Engkaulah yang Maha Lembut
terhadap hamba-hamba-MU
datangkanlah apa yang aku cintai di dunia ini
dengan cara yang Engkau cintai
Ya Allah,
aku memohon kepada-MU dengan pengharapan
bahawa Engkau akan mendengar permintaanku
inilah aku yang sentiasa meminta
dan mengharap pada-MU
Ya Allah,
aku akan tetap meminta kepada-MU
kerana aku tahu Engkau tidak pernah
meninggalkanku...
