Anak adalah anugerah Tuhan dan sebagai amanah
kepada ibu bapa untuk mengenalkan kepada Pencipta. Anak yang terdidik dengan
acuan Pemberi amanah tidak akan menderhaka. Ustaz Pahrol Mohd Juoi turut
menekankan keikhlasan ibu bapa dalam mendidik anak menerusi program Islam itu
Indah.
Kisah yang pernah berlaku pada zaman Khalifah Umar
al Khattab, menunjukkan besarnya peranan mendidik anak. Riwayat masyhur itu
bermula apabila seorang lelaki mengadukan hal anaknya yang derhaka. Lalu Umar
memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya serta
lupa kepada hak bapanya. Anak itu menjawab, "Wahai Amirul Mukminin,
tidakkah anak mempunyai hak ke atas bapanya?" Umar menjawab:
"Ya." Dia bertanya lagi, "Apakah ia wahai Amirul Mukminin?"
Jawab Umar, "Memilih ibunya, memberikan nama yang baik dan mengajarnya
al-Kitab (al-Quran)."
Anak itu berkata:
"Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya bapaku tidak pernah melakukan satu
pun perkara itu. Mengenali ibu saya, dia dahulunya seorang hamba berkulit hitam
dan tuannya seorang Majusi. Saya pula dinamakan 'Ju'olan' iaitu sejenis kumbang
biasa berwarna hitam. Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf
daripada al-Quran". Umar lantas berkata kepada lelaki itu, "Kamu
datang mengadukan kederhakaan anakmu, walhal kamulah yang telah menderhakainya.
Kamulah yang telah berlaku jahat sebelum dia berlaku demikian terhadapmu."
Begitulah, Saidina Umar meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran
kecuaiannya dalam mendidik anaknya.
Didikan, tarbiah
seumpama akar atau nyawa generasi Sungguh besar peranan mendidik ini sehingga
digambarkan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah minggu lalu
bahawa didikan dan tarbiah seumpama akar atau nyawa bagi generasi. Bahananya,
generasi yang berdiri tanpa didikan memang masih mampu berdiri, tetapi dalam
keadaan lemah dan sentiasa terjajah oleh musuh-musuhnya. Setiap individu ada
peranan dalam mendidik. Menjadi kewajipan ibu bapa mengenalkan anak kepada
Rasulullah SAW dan cinta terhadap Baginda. Ia hanya akan terlestari jika ibu
bapa terlebih dahulu kenal dan cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Mengenali dan mencintai tidak hanya terletak kepada pengetahuan salasilah
Baginda SAW, tetapi ia sangat berkait rapat dengan rasa dan tindakan. Seni
memindahkan rasa cinta kepada diri anak bukan sekadar menerusi lisan, malah
perbuatan yang hadir dari hati dan dilakukan sepenuh hati.
Anak adalah cermin
dan pantulan daripada pelakuan ibu bapanya. Setiap yang terzahir daripada sifat
dan tabiat anak seharusnya menjadi musabab buat ibu bapa dan bukannya modal
melampiaskan marah. Sebagaimana ingatan Umar kepada si ayah, sesungguhnya anak
derhaka itu hanyalah produk hasil ibu bapa yang derhaka terlebih dahulu. Tidak
dapat dinafikan, terkadang kita tergelincir dalam mendidik anak. Maka,
perbanyakkan taubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT. Bersungguh dalam
memohon keampunan menerusi keinginan dan kemahuan untuk terus belajar dalam
mendidik tanpa mengira faktor usia dan status dalam masyarakat dan keluarga.
Anak adalah anugerah, tetapi ia tidak terhenti sekadar itu. Ia juga adalah
amanah. Kita perlu sentiasa ingat bahawa anak itu dipinjamkan Allah untuk
diusahakan kerana pada akhir nanti anugerah itu akan kembali kepada
Penciptanya. Disebabkan anak itu amanah, wajib bagi ibu bapa mendidik mereka
mengikut acuan Pemberi amanah. Acuan yang ditetapkan berupa tujuan hidup anak
itu iaitu menjadi hamba Allah dan menjadi khalifah yang memberi manfaat kepada
yang lain. Menjadi anak yang baik dan memberi kebaikan.
Oleh itu, penting bagi
anak ini diterapkan dari awal lagi berkenaan ilmu wahyu untuk mengenal
Penciptanya dan perlu juga menguasai ilmu fardu kifayah bagi memudahkan
matlamat kedua iaitu untuk memberi manfaat pada yang lain. Anak cinta Allah
akan kenal ibu bapa Ibu bapa perlu yakin, anak yang kenal dan cinta Allah
secara tidak langsung akan kenal dan cinta ibu bapanya. Anak yang lupa Allah,
bukan sekadar lupa ibu bapanya bahkan akan lupa dirinya. Hilang cinta pada diri
ini menuju kepada kebinasaan. Apabila anak itu sedar mengenai cinta Allah,
sekali gus terdidik bahawa reda Allah terletak pada reda ibu bapanya.
Disamping, cinta Allah akan merapatkannya dengan al-Quran yang terkandung di
dalamnya berkenaan berbuat baik dan mendoakan ibu bapa. Sesungguhnya, apabila
ada cinta Allah, individu itu memiliki segala-galanya, tetapi jika dia miliki
segala-galanya tanpa cinta pada Allah nescaya dia hilang segala-galanya.
Kiraannya mudah, jika kita mengajar anak mengenali Allah tanpa mengharapkan
sebarang balasan, nescaya Allah akan memberi ganjaran lebih banyak. Selagi jasa
selaku ibu bapa perlu dikenang oleh anak, selagi itu juga anak akan melupakan
jasa baik ibu bapanya berpunca daripada terlepas didikan wajib yang utama iaitu
mengenal Pencipta mereka yang juga Pencipta kepada kedua ibu bapanya. Didik
anak seikhlasnya tanpa menjangkakan sebarang balasan. Proses didikan sewajarnya
bermula dari hati. Didik anak itu amanah bukannya jasa. Sebelum mendidik orang
lain ada baiknya terlebih dulu didiklah hati sendiri.
perkongsian yang indah,seindah blog ini..tahniahh..;-)
ReplyDeleteterima kasih diatas pujiannya...
Deleteyang baik itu datang dari Allah
manakala yang kurang itu datang dari diri sendiri...
moga Allah jadikan yang lebih baik dari sangkaan.